MY DEAR FOLLOWERS

Pages

Rabu, 31 Mac 2010

PINDANG IKAN


Resepi simple kesukaan arwah abah saya selain gulai atau kari . Sekali sekala mak akan masak resepi ini dan ikan yang selalu diguna ialah ikan kembung atau orang di utara panggil ikan temenung . Resepi mudah tapi sangat sedap selain ikan kembung boleh juga diguna ikan selar atau ikan bawal dan ikan mata besar macam saya guna ni .


BAHAN-BAHAN :

8 ekor ikan kembong yang agak besar
1 batang serai yang besar - dititik
1 keping asam keping
4 pokok daum kesum
Air secukupnya
Garam secukup rasa

BAHAN DITUMBUK LUMAT :

2-3 biji cili merah
2 cm kunyit hidup - serbuk pun boleh diguna
4 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
2 cm belachan yg dipanggang atau dibakar

* Kalau kurang masak boleh ditambah asam keping .

CARA MEMASAK :

- Masukkan semua bahan tumbuk dalam periuk , serai , ppokok daum kesum , air dan asam keping . Masak kuah sampai hampir memdidih dan masukkan semua ikan kembong dan garam , kacau sekejap . Biarkan kuah memdidih dan ikan masak baru la ditutup api dapur.

GULAI IKAN TALANG MASIN


Salam pagi Rabu..



Pagi-pagi lagi saya dah masukkan entry memang dah beberapa hari saya tak buat entry ya heheh malas punya pasal la tu . Kari atau di utara kami panggil gulai ikan masin ni saya masak hari Isnin lepas dan hari ni baru nak buat entry ok la kan...

Saya masak gulai ni macam yang arwah mak saya ajar . Hmmm gulai ikan masin ni favorite arwah abah masa kami tinggal di Jitra dulu memang gulai ikan masin ni adalah salah satu menu wajib di rumah saya sebulan sekali mesti ada lah tapi abah saya suka guna ikan masin kurau yang bertulang .

Agak mudah cara nak masak gulai ikan masin , tumis saja macam biasa cuma last sekali saya buat tumis darat bebrapa bahan dan saya curahkan keatas kari yang dah masak ni .

Masa tahun 1988-89 masa saya belajar masak kari ni , mak saya guna rempah khas untuk kari udang dan ketam cap Adabi cuma sekarang ni ada lagi ka saya pun tak pernah nak cari atau pun Adabi dah tak keluarkan rempah kari tu .


BAHAN-BAHAN :

500 grm ikan talang masin - rendam selama 1 jam
1 biji nenas
4 cawan santan pekat
2 biji terung bulat sederhana besar - dipotong 4
Garam dan asam jawa secukup rasa


BAHAN-BAHAN UNTUK TUMISAN :

1 peket rempah kari ikan
2 cm halia
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 sudu kecil halba campur
1 ranting daun kari

BAHAN-BAHAN TUMIS DARAT :

3 biji bawang merah-dimayang nipis-nipis
1 ranting daun kari

* Jika kuah terlalu pekat tambah sedikit saja air.

CARA MEMASAK :

Bersihkan kepingan ikan talang masin dan rendam selama 1 jam untuk buang garam . Beli nenas yang sedang elok maksudnya jangan terlalu muda atau terlalu masak kiranya . Kupas dan bersihkan nenas ini dan potong ( nanti lain kali saya tunjuk cara potong nenas ini ) buah nenas tak perlu dibelah hanya potong menyerong jadi berkeping-keping macam sengkuang tu anggaran ketebalan dalam 1 cm dan lebar dalam 15 cm . Bila dah potong jadi macam kepingan-kepingan dan tak payah ambil bahagian empulur yang keras tu .

Kupas kulit semua bawang dan halia serta dimayang halus . Panaskan 3-4 sudu besar minyak untuk menumis dan tumiskan semua bawang , halia , halba campur dan daun kari . Bila bawang dah layu dan wangi boleh la dimasukkan rempah kari dan air asam jawa . Kacau dan biarkan semua bahan mendidih dan rempah kari terbit minyak itu tandanya rempah kari dah masak .

Bila rempah sudah masak boleh la dimasukkan semua santan serta kacau kuah dan biarkan sampai kuah mendidih kemudian boleh la dimasukkan semua kepingan ikan masin serta nenas dan kacau sekejap . Jika kuah terlalu pekat atau sedikit boleh la ditambahkan sedikit air lagi. Kemudian dimasukkan terung tadi dan kacau sekejap , boleh dirasa garam jika sudah masin tak perlu ditambah garam .

Biarkan kuah mendidih dan ikan masin masak dan terung dah empuk , boleh lah ditutup api . Panaskan 3 sudu besar minyak baru dalam kuali dan tumis semua bawang merah tadi dengan sedikit daun kari bila bawang sudah menjadi warna kekuningan coklat tapi jangan terlalu garing , terus tuang semua bawang dan daun kari ni bersama minyak tadi ke dalam periuk berisi gulai ikan masin tadi dan tutup tudung periuk . Ini la di katakan tumis darat , kari ikan masin ini akan jadi sangat wangi dan lebih sedap sesuai buat teknik ini untuk kari ketam .

Rabu, 24 Mac 2010

KEPAH TUMIS CILI


Saya memang suka makan kepah sebab rasanya yang manis dan mudah untuk dimasak . So , masa balik bercuti sekolah hari tu saya ada la beli kepah dan saya amsak resepi yang mudah je tapi sedap sangat...


BAHAN-BAHAN :

2 kilo kepah
Sedikit air
1 sudu sos tiram
Sedikit air asam jawa secukup rasa
Garam secukup rasa

Bahan di kisar halus :

5 biji cili merah
4 biji bawang merah
3 biji ulas putih
2 cm halia
2 cm lengkuas
2 cm belachan yg telah dibakar
3 batang serai

* Kalau nak pedas tambah la beberapa biji cili api .

CARA MEMASAK :

- Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar dan kacau sampai terbit bau wangi . Masukkan sos tiram serta air asam jawa dan kacau kemudian masukkan semua kepah yang sudah dibersihkan dulu.Kacau semua bahan sehingga rata dan rasa dulu garamnya jika kurang masin baru la ditambah garam . Jika kurang kuah tambah la sedikit air ikut pada citarasa kita la ya.Kepah akan terbuka bila dah masak dan cengkerangnya akan bertukar warna .



Kepah segar yang saya beli semasa di Sungai Petani..

Isnin, 22 Mac 2010

Makan malam di Changkat Minden


Saya ni baru balik bercuti panjang ke rumah abang so banyak n3 saya kali ni berkisarkan cuti kami saja la ye hehehe...
Makan malam kami di rumah abang saya di Changkat Minden , hmmm memang sedap la semua masakan yang kak ipar saya masak macam sup daging dengan sambal kicap . Lepas tu ada ikan bakar dengan ayaq asam yang power sedap . Ada terung yang di celur dan sayur taugeh hijau yang ditumis stail cina hmmmm sunguh menyelerakan .
Saya pula masak tumis cili kepah dan rebus kerang saja , syukur alhamdulillah dengan rezeki kami ni . Walaupun cara masakannya simple tapi semuanya sedap-sedap sangat .

Hmmmm ada sesiapa yang terliur ke hehehe..


Haaa tu dia sup daging semangkuk besar dengan sambal kicapnya dan air asam yang dimakan dengan ikan bakar .


Ikan bakar , terung dicelur dan sayur taugeh hijau ditumis ringkas yum yum sedap ni....

KENDURI DI JITRA


Kami berkesempatan ke Jitra , Kedah untuk menghadiri kenduri kahwin . Bestnya dapat balik Jitra dan saya sempat gi rumah best friend semenjak sekolah menengah lagi . Bila tiba tengahari baru la kami pegi ke kenduri kahwin kawan suami saya ni .
Menu makanan memang macam-macam ada nasi minyak dan nasi putih lauk kenduri macam biasa la ada ayam masak merah , kari daging cuma yang specialnya ada gulai rebung stail masakan utara . Rebungnya pula yang jenis kecil-kecil tu bukan macam rebung jeruk yang biasa kita jumpa di sebelah selatan ni . Hmmm terubat la rasa rindu nak makan gulai rebung ni sampai saya terlupa nak ambil gambarnya.

Selain main menu ada juga side menu yang pelbagai macam laksa kedah yang hmmm sedapppppnya lepas tu ada cendol , rojak buah dan teh tarik . Memang sedap la semua makanan yang di hidangkan syukur alhamdulillah .


Laksa yang di gunakan pun jenis kecil dan halus , kuahnya pula memang la sedap saya ni kalau makan laksa suka letak ulam-ulamannya banyak baru la sedap . Nasib la dapat makan laksa masa gi kenduri ni sebab masa saya pegi nak beli laksa Teluk Kecai dah habis huhuh so tak la kempunan sangat nak makan laksa Kedah...


Gendang gendut tali kecapi , kenyang perut senang hati hehe

Puteri-puteri saya ni kalau masuk bab nak posing memang ok saja hehehe , ingatkan nak bergambar dengan pengantin tapi tak sempat la pengantin sibuk melayan tetamu hehe tak pa la yang penting perut kenyang hati pun senang sebab hidangan sedap sangat ..

Pasembor di Padang Kota , Penang.


Banyak kali juga saya nak gi jalan-jalan makan pasembor di Padang Kota tapi selalunya ada saja aktiviti lain yang nak di buat bila dah sampai ke Penang ni . Kali ni bila sampai ke Penang kami terus saja ke Padang Kota dulu walaupun cuaca nampak macam nak hujan kami pegi je .
Masa sampai kat water front Padang Kota ni dah petang dalam pukul 4 lebih tapi tengok tak ramai pun pengunjung . Kami terus saja ke Medan Selera sebab nak makan pasembor dan nak cuba lain-lain makanan .

Ada 3 gerai jual pasembor dan kami pilih gerai yang ini yang uniknya cara susunan cucur dan lain-lain makanan di pamerkan di gerai pasembor ni . Pilih saja yang mana kita nak makan dan papan harga ada so sambil pilih boleh tengok harga makanan yang kita ambil tu.


Sedap pasembor gerai ni dan harga ok la


Anak-anak saya bergambar di water front , langit dah mula gelap lepas habis makan kami cepat-cepat beredar takut terperangkap dalam hujan lebat pulak nanti .


Adam dan Adlina yang seronok dok ligan/mengejar burung merpati . Dah lama juga saya tak singgah ke medan makan di Padang Kota ni dulu masa saya datang masih duduk bawah payung sekarang ni kedaan gerai lebih selesa dan bersih .

Lepat pisang


Lepat pisang ni kak ipar saya yang masak , cukup sedap dan tak terlalu manis . Saya memang tak tau nak masak lepat pisang sebab kat rumah saya ni tak ada yang suka makan lepat hehehe nak buat macam mana suami saya hanya suka makan karipap ubi kentang atau karipap sardin saja saja . Kuih muih tradisional lain dia kurang gemar kalau dia makan pun macam kuih seri muka , bingka ubi kayu dan kuih kasui , macam pengat dan bubur hmmm lagi la dia tak suka makan kalau saya masak di rumah ni hanya anak-anak dan saya la yang habiskan hehehe..


Saya tengok cara kakak ipar bancuh adunan lepat ni agak mudah juga mungkin satu hari saya boleh cuba buat lepat pisang ini tapi saya lagi suka makan lepat ubi kayu .



Hmmm sedap ni baru masak dan panas suam kuku , cukup lembut dan tak terlalu manis kiranya just nice la..

Ahad, 21 Mac 2010

Kuih Serabai


Kuih ni nama je serabai tapi rasanya sedap sangat mungkin orang Penang sejati tau kenapa kuih ni di panggil kuih serabai . Bila saya bercuti ke rumah abang saya di Penang baru la saya dapat rasa kuih ni yang kakak saya beli untuk sarapan . Kuahnya special rasa lemak gula kabung dan rasa kuih ni lebih kurang macam apam tapi lagi sedap . Orang Penang mesti tau kuih ni kan.....

Hmmmm sedapnya makan kuih serabai ni dengan kuah santannya terasa kemanisan lemak gula kabung..


Kak ipar saya bagi tau kuih serabai ni favorite orang ramai dan kadang-kadang kena Q panjang la juga bila nak beli . Memang sedap pun kuih ni kalau makan tak cukup sebiji mesti nak 3-4 biji hehehe..

Khamis, 11 Mac 2010

GULAI PISANG MUDA


Hari Isnin lepas masa pegi pasar malam saya beli seikat pisang muda memang plan nak masak gulai lomak dengan ikan bilis. Nak masaknya pun mudah cuma kena pastikan pisang memang masih muda . Kuah mesti pekat dan selalunya saya tak guna banyak sangat cili api sebab Aisayh dan Adlina suka juga makan gulai pisang ni .

Gulai pisang muda


BAHAN-BAHAN :

1 ikan pisang muda
3 cawan santan pekat
Segenggam ikan bilis

BAHAN DI TUMBUK LUMAT :

3 cm kunyit hidup
3 biji cili api
1 batang serai - dititik

CARA MEMASAK :

Siat kulit pisang muda dan belah 2 pisang ini . Masukkan santan pekat , serai , ikan bilis yang sudah dibersihkan dan bahan ditumbuk lumat ke dalam periuk . Hidupkan api dan biarkan sampai kuah mendidih dan kacau kuah ini. Kalau kuah sikit boleh la ditambah sedikit lagi santan.

Kemudian masukkan pisang muda tadi bersama garam secukup rasa , kacau semua bahan. Biarkan kuah mendidih dan kacau kuah sekali sekala bila masak pisang akan menjadi lembut dan empuk . Boleh la ditutup api dapur .

Hidangan makan tengahari...




Penambah keenakkan atau pembuka selera ulam jantung pisang dengan buah kerdas dan sambal tempoyak hmmm sedapnya...

Rabu, 10 Mac 2010

APA ADA DALAM TUREEN


Salam petang Rabu

Kejap je masa berlalu dah pun hari Rabu , hari ni saya masak kari ikan tenggiri dan kepalanya sekali . Saya beli 3 keping isi ikan tenggiri dan kepalanya sekali hmmm sedap ni . Saya memang suka makan kepala ikan macam kepala ikan merah , tenggiri , jenahak , senangin dan siakap . Bahagain kepala ni banyak juga isi .

Di mana saya belajar makan kepala ikan hmmm biasa la kalau orang utara kalau pi makan nasi kandar kadang-kadang order kari kepala ikan lama-lama dah sedap saya pun masak kari kepala ikan di rumah lagi la jimat belanjakan .


Kari ikan tenggiri ni saya letak dalam tureen yang saya dapat hadiah perkahwinan saya 13 tahun dulu , tureen ni bukan la antik tapi kira tureen pertama la yang saya dapat jenama Giacomo . Lagi 30-40 tahun mesti masuk era antik tureen saya ni masa tu anak saya la yang akan dapat mewarisi tureen ni kalau tak pecah la..


Jeng-jeng ini la kari kepala ikannya , resepi karinya sama je macam buat kari ikan biasa . Kuah pula ikut la pada citarasa kita nak pekat atau cair . Selain makan dengan nasi lebihan kari ni saya simpan dan boleh juga makan dengan roti sebagai sarapan pagi besok . Resepi yang saya bagi ini adalah cara kari yang dimasak oleh arwah mak saya dulu .


BAHAN-BAHAN :

3 keping isi ikan tenggiri saiz sederhana
1 ketul kepala ikan
10 biji kacang bendi
3 cawan santan pekat
Garam dan asam jawa secukup rasa

BAHAN-BAHAN UNTUK TUMISAN :

1 peket rempah kari ikan
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 sudu kecil halba campur
4 ranting daun kari

* Kalau nak kari kita masak ni pedas sikit boleh juga ditumis bersama 1 sudu kecil cili kering yang dikisar . Jika kuah terlalu pekat boleh la ditambah sedikit air.

CARA MEMASAK :

Bersihkan kepingan ikan tengiri dan kepala ikan tenggiri ini . Kupas semua bawang dan dimayang halus . Potong bahagian hujung dan pangkal bendi jika panjang boleh la dipotong 2 kacang bendi ini .

Panaskan minyak untuk menumis dan tumiskan semua bawang bersama halba campur dan daun kari . Bila bawang dah layu dan wangi boleh la dimasukkan rempah kari dan air asam jawa . Kacau dan biarkan semua bahan mendidih dan rempah kari terbit minyak itu tandanya rempah kari dah masak .

Bila rempah sudah masak boleh la dimasukkan semua santan serta garam kacau kuah dan biarkan sampai kuah mendidih kemudian boleh la dimasukkan semua kepingan ikan tenggiri serta kepala ikan tenggiri ini dan kacau sekejap . Jika kuah terlalu pekat atau sedikit boleh la ditambahkan sedikit air lagi.

Biarkan kuah mendidih dan ikan masak kemudian boleh dimasukkan semua kacang bendi dan biarkan seketika . Rasa garam jika kurang masin boleh la ditambah kemudian terus tutup dapur api . Tutup periuk dan biarkan kacang bendi masak didalam wap panas kari ini .



Kari kepala ikan tengiri , tulang kepala ikan ni lembut sangat memang sedap . Selalunya kalau orang-orang utara makan kari dengan sambal belachan hmmm sedap uu...

Ahad, 7 Mac 2010

TUNA CASSEROLE


Tuna casserole ni saya masak pada hari Jumaat lepas untuk minum petang dan merangkap dinner untuk anak-anak saya yang kadang-kadang nak ubah selera sebab dok makan nasi saja hehehe tapi saya dan suami mesti makan nasi juga memang perut melayu sejati hehehe

Saya ada bagi resepi tuna casserole ni dalam entry yang lepas pada sesiapa yang teringin nak cuba masak boleh check di bahagian label ya . Resepi ni agak mudah dimasak dan sangat mengenyangkan dan memang menjadi favorite menu anak-anak saya bila dengar saja saya nak masak tuna casserole Aisyah dan Adlina dah happy hehehe dan Adam ikut bersorak macam kakak-kakaknya...




Mash potato bersama tuna casserole iaitu campuran sayur brokoli+mushroom soup+ tuna chunk hmmm sedap ni....

Jumaat, 5 Mac 2010

KACANG PANJANG TUMIS SANTAN


Menu kacang ni pun mak mertua yang masak masa kami balik kampung dulu tapi hari ni baru saya dapat masukkan dalam blog .
Ambil semua hati , pedal dibersihkan dan dipotong kecil-kecil sementara kacang panjang hanya dipatah-patah guna jari saja . Mak cakap cara macam tu boleh kekalkan kemanisan kacang panjang ye la petua mak saya ikut mesti la ada betulnya kan memang sedap pun kacang ni bila dah siap dimasak.

Mula-mula goreng dulu semua hati pedal ni sampai agak garing . Kemudian tumis bawang merah dan putih yang diracik halus serta sedikit kunyit hidup yang ditumbuk lumat . Seterusnya masukkan sedikit santan anggaran satu cawan dan kesemua bahan ni dikacau dan dimasukkan kacang panjang tadi dan hati serta pedal tadi . Jika nak kuah lebih boleh la ditambah sedikit lagi santan . Kacau semua bahan dan dimasukkan garam secukup rasa bila kacang dah masak boleh la ditutup api dapur . Hmmms enang dan sedap...