MY DEAR FOLLOWERS

Pages

Memaparkan catatan dengan label resepi sayur. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label resepi sayur. Papar semua catatan

Rabu, 11 Mei 2011

Sayur tumis kobis cina

BAHAN-BAHAN:

Separuh sayur kobis cina
200gm udang saiz medium
5 ekor sotong-potong kecil-kecil
1 peket campuran suuhun/fuucuk-direndam hingga kembang
2 biji bawang kecil
2 ulas bawang putih
2 sudu sos tiram
1 sudu kecil minyak bijan
1 sudu kecil sos nampla
Garam secukup rasa

CARA MEMASAK :

1. Kupas semua bawang dan dimayang halus , potong sayur kobis cina dan rendam suuhun/fucuk sehingga kembang kemudian ditos dan ketepikan .

2. Bersihkan udang dan buang semua kulit serta kepala kemudian bersih sotong dan dipotong kecil-kecil . Panaskan sedikit minyak dalam frying pan dan tumis semua bawang biar sampai layu. Masukkan udang dsn sotong , sos tiram , minyak bijan , sos nampla dan kacau sampai udang/sotong separuh masak dan masukkan semua sayur kobis cina. Terus kacau supaya semua bahan mesra dan bila sayur kobis hampir layur terus masukkan suuhun/fucuk tadi serta kacau semua bahan . Jika kurang masin baru la ditambah garam dan tutup api bila suuhun dan masa.


Sayur kobis cina yang sedap , manis serta ranggup .

Khamis, 5 Mei 2011

Tumis buncis n cendawan

Hari ni saya masak menu sayur campur kacang buncis dengan carrot dan cendawan shitake kering, saya tambahkan udang segar sebagai perencah . Cendawan kering ni saya rendam dulu dalam air panas supaya jadi kembang so baru la senang nak dipotong . Kadang-kadang saya ratah sayur buncis ni sebab rasanya yang ranggup dan manis sedap sangat..

BAHAN-BAHAN:

300 grm buncis
2 batang carrot
200gm udang saiz medium atau besar
2 biji bawang kecil
3 ulas bawang putih
2 sudu sos tiram
1 sudu kecil minyak bijan
1 sudu kecil sos nampla
Garam secukup rasa

CARA MEMASAK :

1. Kupas semua bawang dan dimayang halus , potong sayur buncis , cendawan shitake dan carrot.

2. Bersihkan udang dan buang semua kulit serta kepala . Panaskan sedikit minyak dalam frying pan dan tumis semua bawang biar sampai layu. Masukkan udang , sos tiram , minyak bijan , sos nampla dan carrot , kacau sampai udang separuh masak dan masukkan buncis dan cendawan. Terus kacau supaya semua bahan mesra dan boleh la dirasa sayur ni kalau kurang masin baru la ditambah garam dan tutup api bila sayur buncis masak.

Khamis, 28 April 2011

Sayur tumis belacan

Sayur ni selalu saya jumpa di pasar malam dekat rumah saya ni cuma saya tak pernah nak beli sebab dari kecil tak pernah makan so saya macam kurang berminat nak try tapi lately sekarang ni saya suka cuba masak sayur yang sebelum ni saya tak pernah makan pun . Masa beli sayur ni di pasar malam saya lupa nak tanya pada tokeh gerai nama sayur ni so kalau ada pembaca blog saya ni tau nama sayur ni boleh la tinggal kan komen anda ya boleh gak kita kongsi ilmu..

So untuk sayur ni saya masak menu yang simple je tumis belacan dengan sotong . Bila dah masak dan makan baru la tau yang sayur ni sedap rupa-rupanya . Sayur ni rasanya lemak manis macam sayur pucuk keledek dan kangkung so memang sedap la . Bila dimasak tumis belacan campur udang kering dah sotong lagi la sodap mmmmm memang kena dengan selera kami sekeluarga . Lepas ni kalau ke pasar malan boleh saya beli sayur ni lagi..



BAHAN-BAHAN :

2 ikat sayur
2 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
1 biji cili merah
2 cm belacan
1 sudu besar udang kering-rendam sekejap bagi lembut

CARA MEMASAK :

-Tumbuk lumat cili merah , bawang merah+bawang putih ,belacan dan udang kering . Bersihkan sayur dan potong ikut pada citarasa sendiri kemudian bersihkan sotong serta potong kecil-kecil .

-Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan tumis bahan tumbuk sampai naik wangi , masukkan sotong dan kacau. Bila udang dah masak masukkan semua sayur dan kacau , masukkan garam dan terus kacau sehingga la sayur masak baru la di tutup api dapur.

Apa nama sayur ni ya..


Sabtu, 16 April 2011

Acar mentah

Bila makan nasi dagang mesti ada sayur acar mentah baru la sedap , mudah je nak buat acar mentah ni yang penting cukup semua rasa masam dan manisnya..


BAHAN-BAHAN :

Sebiji timun-dipotong
Sebiji carrot-dipotong
Sebiji bawang besar-dimayang nipis-nipis
1-2 biji cili merah - dipotong kecil-kecil
Garam , gula dan cuka secukupnya

CARA MEMASAK :

Gaulkan semua bahan sehingga cukup mesra .

Selasa, 29 Mac 2011

Tumis kobis ungu n kimcham

BAHAN-BAHAN:

200grm kobis ungu
100 grm bunga kimcham
Sedikit sayur baby kailan
100 grm udang
2 biji bawang kecil
3 ulas bawang putih
1 sudu besar sos tiram - boleh ditambah
1 sudu kecil minyak bijan
Garam secukup rasa

CARA MEMASAK :

1. Kupas semua bawang dan dimayang halus , bersih sayur dan potong .

2. Bersihkan udang dan buang semua kulit . Panaskan sedikit minyak dalam frying pan dan tumis semua bawang biar sampai layu. Masukkan udang , sos tiram dan kacau sehingga udang masak kemudian masukkan semua sayur n kacau lagi . Masukkan minyak bijan dan kacau supaya semua bahan mesra dan tutup api bila sayur masak.

Rabu, 23 Mac 2011

Bunga lily goreng ranggup

Bunga lily atau kimcham ni memang sedap digoreng tepung ranggup . Saya ada juga cuba masak kincham ni stail goreng cili belacan hmmm cukup sedap laa..

Proses nak gorengnya sama je macam goreng cendawan tiram . Mula-mula saya bersihkan kimcham dan tos . Saya guna 2 biji telur yang dipukul kembang macam nak buat telur dadar tu . Lepas tu saya celup sikit demi sikit kimcham ni dalam telur .

Saya guna tepung goreng segera jenama Adabi yang dicampur sedikit dengan tepung jagung , saya campur 1 sudu besar tepung jagung dalam sepeket serbuk tepung goreng adabi tu .

Tepung goreng ni saya tuang secukupnya dalam pinggan leper kemudian kimcham yang dah dicelup telur tadi dimasukkan dalam pinggan berisi tepung ni dan digaul rata . Kimcham ni mesti la jadi kering bila dah disalut tepung tadi .

Panaskan minyak secukupnya dah goreng cendawan ni sampai masak kemudian diangkat dan tos . Sedap dimakan bila dicicah dengan sos cili atau sos Thai..

Ni la kimcham atau kudup bunga lily

Kobis segar dari kebun

Sayur kobis ni saya beli di kebun sayur sebelum balik dari Cameron Higland . On the way sebelum sampai simpang nak turun ke Simpang Pulai ada banyak juga kebun sayur dan kami berhenti di kebun kobis ni sebab saya tertarik dengan sayur kobis yang tumbuh subur . Paling best bila di kebun kobis ni saya boleh pilih sendiri kobis yang saya nak beli , memang best la pengalaman saya potong sendiri kobis ni dari pokoknya . Bila balik ke rumah saya terus masak menu simple ni .

Kobis masak lemak putih

BAHAN-BAHAN :

500 grm kobis
2 cawan santan
2 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 genggam ikan bilis-rendam sekejap
Garam secukup rasa

* Boleh ditambah sedikit air jika kuah terlalu pekat

CARA MEMASAK :

1. Bersihkan sayur kobis serta dipotong kemudian kupas semua bawang dan dimayang halus.

2.Masukkan santan dan bawang kedalam periuk bersama ikan bilis .Masak kuah santan ini sampai mendidih kemudian masukkan semua sayur kobis tadi serta garam . Kacau semua bahan dan bila sayur masak boleh la ditutup api dapur.

Menu simple sayur kobis ni sedap dimakan dengan ikan goreng dan sambal belacan yummy sedap sangat la nasi mesti bertambah la..


Kebun sayur di Cameron Highland..

Saya la tu baru potong sayur kobis

Happy la lain kali bila ke sana saya nak singgah kebun sayur ni lagi sebab saya boleh pilih dan petik sendiri sayur yang nak dibeli . Harga pun murah dan yang penting sayurnya fresh..

Jumaat, 11 Februari 2011

Sup ubi kentang

Sup ubi kentang ni saya dapat dari mak mertua dan cara nak masaknya tersangat la senang tapi rasanya sedap sangat la . Kalau ikut cara mak saya sup ubi kentang ni di campur dengan suuhun dan fucuk tapi cara mak mertua saya hanya dicampur dengan ikan bilis saja . Sup simple ni sedap kalau dimakan dengan ikan goreng garing dan kuah mesti banjir hmmm sunggup enak kalau nak tambah sambal belacan lagi la sodap...
Ada lagi cerita di sebalik sup ubi kentang ni dulu masa suami saya masih kecil hidup di kampung menu ni yang sering jadi hidangan dengan nasi sebab mertua saya perlu berjimat cermat berbelanja ye la anak ramai sedangkan bapa mertua saya hanya askar pangkat biasa . Ada nostalgia tersendiri pada setiap masakan yang jadi favorite Encik Suamiku...sambung cerita lagi husband saya bagi tau masa kecil dia suka picit tekan ubi kentang ni sampai lumat dan digaul dengan nasi serta kicap baru sedap dimakan . Sekarang ni anak-anak saya pula ikut cara abahnya masa kecil dulu makan sup ubi kentang ni ...
BAHAN-BAHAN :

6 biji ubi kentang
2 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
1 genggam ikan bilis
4 cawan air-boleh tambah
Garam secukup rasa

CARA MEMASAK :

- Kupas semua bawang dan dimayang halus , kupas semua ubi kentang dan dibelah 4 .

- Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang , biar sampai bawang layu dan masukkan ikan bilis kacau semua bahan sampai terbit bau harum.

- Masukkan air dan ubi kentang , biar kuah mendidih dan ubi kentang menjadi empuk kemudian masukkan garam . Kacau semua bahan bagi mesra dan bila dan masak boleh la di tutup api dapur.

Kankung tumis tauchou

First time saya makan sayur kangkung yang dimasak stail macam ni saya rasa pelik juga ye la sebab selalunya tauchou dimasak dengan ikan tapi mak mertua saya masak tauchou dengan kangkung pula. Tapi bila dah selalu makan memang sedap pun resepi ni dan kalau nak tau ni la menu kegemaran Encik Suami ku hehe ye la kan kalau dah dari kecil biasa makan sayur kangkung masak tauchou mesti la sedap dan suka samapi sekarang....

Mak mertua saya lagi suka guna kangkung sawah a.k.a kangkung kampung sebabnya rasa dan texturenya yang lemak-lemak manis serta daunnya tak lembik macam sayur kangkung batang panjang yang selalu kita jumpa di market atau hypermarket . Cuba la resepi ni memang sedap laa


BAHAN-BAHAN :

2 ikat kangkung kampung
1 genggam ikan bilis
2 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
1 peket tauchou

*Boleh juga ditumbuk hancur ikan bilis bersama bawang merah dan bawang putih

CARA MEMASAK :

-Bersihkan sayur kangkung dan potong . Rendam ikan bilis sekejap dan tos kemudian mayang halus semua bawang .

-Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan tumis semua bawang sampai layu kemudian masukkan ikan bilis dan kacau sehingga terbit bau harum . Masukkan tauchou dan kacau kejap kemudian masukkan semua sayur . Terus kacau dan masukkan sedikit air bila sayur kangkung dah masak boleh la di tutup api dapur.

- Saya tak guna garam sebab tauchou dah cukup masin .

Rabu, 9 Februari 2011

Masak lemak labu

Semua menu simple je lauk yang saya masak hari ni walaupun simple tapi sedap macam masak labu ni hmm sungguh menyelerakan tambahan lagi saya goreng ikan masin dan ada pula sambal belacan . Memang sodap..
BAHAN-BAHAN :

500 grm labu
4 cawan santan
1 genggam ikan bilis-rendam sekejap
1 batang serai
1 helai daun kunyit-disiat
Garam secukup rasa

* Boleh ditambah sedikit air jika kuah terlalu pekat

BAHAN DITUMBUK LUMAT :

4 cm kunyit hidup

CARA MEMASAK :

1. Bersihkan labu dan buang kulit kemudian dipotong kecil-kecil .

2.Masukkan bahan ditumbuk ke dalam periuk bersama santan pekat , ikan bilis, daun kunyit dan garam . Gaul semua bahan dan masak kuah santan sampai mendidih .

3. Masukkan semua labu tadi dan kacau sekejap . Biarkan labu masak dan menjadi empuk . Bila dah masak boleh la ditutup api dapur.

Rabu, 5 Januari 2011

Buncis goreng

Sayur kacang buncis yang digoreng dengan telur..
Resepi yang sangat mudah dan cepat untuk dimasak tapi sangat sedap. Anak-anak saya suka sangat sayur buncis kalau dimasak cara macam ni sebab ada telur..

BAHAN-BAHAN :
200grm kacang buncis
1 biji telur
Garam atau bahan perasa secukup rasa
Sedikit minyak bijan

BAHAN DITUMBUK LUMAT :

2 biji bawang merah
3 ulas bawang putih


CARA MEMASAK :

-Basuh sayur buncis kemudian buangkan urat pada hujung kacang dan potong menyerong kecil-kecil .

-Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan tumis bahan tumbuk sampai bawang menjadi layu kekuningan . Masukkan telur dan kacau dengan cepat sampai telur masak.

- Masukkan semua sayur buncis dan kacau , masukkan garam , minyak bijan secukupnya dan terus kacau sehingga la sayur masak dan boleh ditutup api dapur.

Isnin, 27 Disember 2010

Sawi putih tumis air

Kalau beli sayur sawi putih mesti ditumis dengan sotong ,itu la request dari hubby saya . Kenapa mesti ditumis dengan sotong putih kerana mak mertua saya masak macam ni hehehe..
Kadang-kadang suami saya nak melepas rindu pada masakan ibu tersayang so saya akan masak cara mak mertua saya la atau saya ubah sikit tapi kalau nak lagi senang kami balik kampung je tak jauh pun 1 jam setengah dah sampai Kuala Klawang...
Memang betul bila kita dah berkahwin memang perlu belajar dari mertua resepi-resepi kegemaran suami dan saya memang banyak sangat belajar menu baru dari mak mertua serta semuanya menu cara masakan Minangkabau . Saya pula memang suka sangat kalau belajar bab nak belajar masakan baru so bila balik je kampung memang saya selalu ada di dapur perhatikan cara mertua masak sambil tolong apa yang patut....
Dulu masak kecil dan tinggal dengan keluarga sendiri saya tak pernah makan sawi putih ni sebab arwah abah tak berapa suka sayur ni sebab ada rasa pahit sikit . Abah suka beli sayur kobis , taugeh + kucai + tauhu , bendi , kacang buncis , kangkung , terung dan beberapa jenis lagi sayuran . Sayur sawi hanya dimasak bila nak goreng mee dan bihun saja . So masa baru bernikah dengan suami dan kami dikampung mertua saya di kenal kan dengan sayur sawi putih masak dengan sotong . Bila makan sedap pula so sekarang ni memang jadi menu favorite kami sekeluarga . Berlainan negeri so memang macam-macam benda yang berbeza seperti adat dan makanan termasuk la cara masakan....
Ok berbalik kepada sayur sawi tumis sotong ni yang saya belajar cara nak masak dari mak mertua saya cuma saya dah ubah sikit sebab saya dah tambah udang kering , minyak bijan dan sos tiram kalau cara original mak mertua tak ada bahan-bahan tu semua . Selamat mencuba resepi sayur yang sanagt senang ni ya..

BAHAN-BAHAN :
2 ikat sayur sawi putih
200grm sotong
Garam secukup rasa
Sedikit minyak bijan

BAHAN DITUMBUK LUMAT :

2 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
Segenggam udang kering -rendam dulu

CARA MEMASAK :

-Basuh sayur sawi dan potong . Bersihkan sotong kemudian potong kecil-kecil .

-Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan tumis bahan tumbuk sampai naik wangi kemudian kacau . masukkan sotong dan goreng sekejap sehingga sotong bertukar warna dan masukkan minyak bijan .

- Masukkan semua sayur dan kacau , masukkan garam secukupnya dan terus kacau sehingga la sayur masak dan boleh ditutup api dapur.

Rabu, 15 Disember 2010

Petola ular

Saya pernah cuba makan sayur petola ular ni bila makan di kedai mamak tapi mungkin cara masak yang buat rasa sayur petola ular ni biasa-biasa je . Baru-baru ni saya cuba beli petola ular ni di pasar malam dan saya masak stail selera saya sendiri dan hasilnya sangat sedap . Anak-anak dan suami suka sangat makan sayur petola ular yang saya tumis bersama udang kering ni so sekarang ni petola ular dah masuk dalam list favorite sayur family kami la...

Saya tumis cara simple dengan guna udang kering sebagai rencah utama..memang sedap..
BAHAN-BAHAN :

3 batang petola ular
Sos tiram secukup rasa
Garam secukup rasa
Sedikit minyak bijan


BAHAN DITUMBUK LUMAT :

2 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
Segenggam udang kering -rendam dulu

* Kalau nak pedas tambahkan sebiji cili merah dan sedikit belacan semasa proses menumbuk bawang tadi . Boleh juga diguna ikan bilis .

CARA MEMASAK :

-Basuh kacang sepat dan buang urat ditepi kacang ni kemudian potong kacang sepat kecil-kecil.

-Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan tumis bahan tumbuk sampai naik wangi kemudian kacau .

- Masukkan semua sayur dan kacau , masukkan garam , minyak bijan dan terus kacau sehingga la sayur masak dan boleh ditutup api dapur.

Ni la rupa petola ular...

Jumaat, 10 Disember 2010

Kacang sepat tumis udang kering

BAHAN-BAHAN :

200 grm kacang sepat
Garam secukup rasa
Sedikit minyak bijan
sedikit air-jika perlu sahaja

BAHAN DITUMBUK LUMAT :

2 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
Segenggam udang kering -rendam dulu

* Kalau nak pedas tambahkan sebiji cili merah dan sedikit belacan semasa proses menumbuk bawang tadi . Boleh juga diguna ikan bilis .

CARA MEMASAK :

-Basuh kacang sepat dan buang urat ditepi kacang ni kemudian potong kacang sepat kecil-kecil.

-Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan tumis bahan tumbuk sampai naik wangi kemudian kacau .

- Masukkan semua sayur dan kacau , masukkan garam , minyak bijan dan terus kacau sehingga la sayur masak dan boleh ditutup api dapur.

Ini la rupa kacang sepat giant yang selalunya ada dijual di pasar malam . Selalu juga saya jumpa kacang ni bila ke pasar malam tapi tak pernah terfikir nak beli tapi Isnin lepas saya beli sikit untuk testing masak dan rupa-rupanya kacang ni sedap sangat . So lepas ni memang selalu saya beli beli kacang sepat ni .
Urat di bahagian tepi kacang ni perlu dibuang dan bila nak beli pilih kacang yang muda baru la sedap crunchy berlemak je rasanya..

Selasa, 19 Oktober 2010

TUMIS SAYUR KOBIS


BAHAN-BAHAN :
kobis putih - kuantiti ikut selera sendiri
kobis ungu - kuantiti ikut selera sendiri
1 batang carrot - potong ikut selera sendiri
1 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
Sedikit udang
1 sudu kecil minyak bijan
1 sudu besar sos tiram
Garam secukup rasa
Sedikit air

CARA MEMASAK :
- Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bawang sampai menjadi layu , kemudian masukkan semua udang dan kacau sehingga terbit bau wangi seterus boleh la dimasukkan sos tiram dan minyak bijan . Masukkan semua carrot dulu dan kacau biarkan sampai carrot hampir masak baru dimasukkan sayur kobis yang dah dipotong nipis-nipis dan kacau semua bahan . Masukkan sedikit air dan garam secukup rasa. Kacau sayur bila dah masak boleh la ditutup api dapur.

Jumaat, 15 Oktober 2010

TUMIS AIR PUCUK MANIS

Resepi sayur yang simple lagi..
BAHAN-BAHAN :
2 ikat pucuk manis
1 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
Sedikit ikan bilis-dibasuh
1 batang serai -dititik
2 peket campuran suun+fucuk
1 sudu besar sos tiram
air secukupnya
Garam secukup rasa

CARA MEMASAK :
- Panaskan sedikit minyak dalam periuk dan tumis semua bawang sampai menjadi layu , kemudian masukkan semua ikan bilis dan kacau sehingga terbit bau wangi , kacau semua bahan seterus boleh la dimasukkan semua air dan serai . Masukkan sos tiram dan semua sayur pucuk manis dan kacau semua bahan bila sayur pucuk manis hampir masak baru la di masukkan suuhun+fucuk .
- Masukkan garam secukup rasa. Kacau sayur pucuk manis ni dan bila fucuk dah masak boleh la ditutup api dapur.

Isnin, 11 Oktober 2010

TAUGEH TUMIS KICAP

BAHAN-BAHAN :

300 gm taugeh
5 ekor sotong sederhana besar
2 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap
Garam secukup rasa
Air secukupnya

CARA MEMASAK :

- Bersihkan taugeh dan kupas semua bawang dan dimayang halus . Sotong dibersihkan dan dipotong kecil-kecil .

- Panaskan sedikit minyak dalam kuali , tumis semua bawang dan kacau biar sampai layu kemudian masukkan sotong dan kacau lagi serta biarkan sotong masak . Masukkan sos tiram dan terus masukkan semua taugeh dan kicap sekali . Kacau lagi dan jika kurang masin boelh la ditambah sedikit garam . Bila sayur dah layu boleh la ditutup api dapur.

* Boleh ditambah sedikit air jika kurang kuah

TUMIS KACANG PANJANG

BAHAN-BAHAN :

1 ikat kacang panjang
1 peket cendawan shitake
1o ekor sotong sederhana besar
2 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil minyak bijan
1 sudu besar kicap
Sedikit air

CARA MEMASAK :

- Bersihkan kacang panjang dan di patah-patahkan , kupas semua bawang dan dimayang halus . Sotong di bersihkan dan dipotong kecil-kecil .

- Panaskan sedikit minyak dalam kuali , tumis semua bawang dan kacau biar sampai layu kemudian masukkan sotong dan kacau lagi bagi sotong separuh masak . Masukkan sos tiram , minyak bijan dan terus masukkan semua kacang panjang dan kicap sekali . Kacau lagi dan masukkan sedikit air . Bila kacang dah masak baru la dimasukkan semua cendawan dan kacau lagi bila cendawan layu baru la ditutup api dapur.

Sabtu, 25 September 2010

Tumis labu air

Lama betul saya tak berblog yaa cuti sakan saya kali ni dan hari ni baru saya nak masuk n3 baru . Saya masak resepi yang simple lagi , mudah dan sedap macam resepi labu air tumis air bersama suun+fucuk ni.
BAHAN-BAHAN :
2 biji buah labu air- di kupas kulit luar yang keras dan dipotong
1 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
Sedikit ikan bilis-dibasuh
1 batang serai -dititik
2 peket campuran suun+fucuk
1 sudu besar sos tiram
air secukupnya
Garam secukup rasa

CARA MEMASAK :
- Panaskan sedikit minyak dalam periuk dan tumis semua bawang sampai menjadi layu , kemudian masukkan semua ikan bilis dan kacau sehingga terbit bau wangi , kacau semua bahan seterus boleh la dimasukkan semua air dan serai . Masukkan sos tiram dan semua labu air dan kacau semua bahan bila labu hampir masak baru la di masukkan suuhun+fucuk .
- Masukkan garam secukup rasa. Kacau sayur labu ni dan bila fucuk dah masak boleh la ditutup api dapur.

Ni la labu air

Ahad, 5 September 2010

TUMIS SAYUR CAMPUR

BAHAN-BAHAN:

Bunga kobis secukupnya
300 grm buncis
1 batang carrot
3 ekor sotong yang besar
2 biji bawang kecil
3 ulas bawang putih
2 sudu sos tiram
Garam secukup rasa

CARA MEMASAK :

1. Kupas semua bawang dan dimayang halus , potong sayur buncis , bunga kobis dan carrot.

2. Bersihkan sotong dan potong nipis-nipis. Panaskan sedikit minyak dalam frying pan dan tumis semua bawang biar sampai layu. Masukkan sotong , sos tiram dan carrot , kacau sampai sotong separuh masak dan masukkan buncis , bunga kobis dan garam . Terus kacau supaya semua bahan mesra dan tutup api bila sayur buncis masak.