MY DEAR FOLLOWERS

Pages

Isnin, 31 Mei 2010

TAUGEH KASAR TUMIS KICAP



Resepi yang simple lagi tapi sedap sangat pada saya yang memang mengemari taugeh kasar ni . Sedap dimakan dengan nasi atau dirata begitu saja . Cara nak masak pun sama je macam tumis sayur biasa...


BAHAN-BAHAN ;

300 gm taugeh
1 ikat kuchai
1oo gm udang kertas yg kecil
3 biji bawang merah
2ulas bawang putih
1 sudu besar sos tiram
3 sudu besar kicap-boleh tambah lagi
1 sudu kecil minyak bijan
Garam secukup rasa
Air secukupnya

CARA MEMASAK :

- Bersihkan taugeh dan potong kuchai , kupas semua bawang dan dimayang halus. Udang di bersihkan dan buang ekor dan kepalanya.

- Panaskan sedikit minyak dalam kuali , tumis semua bawang dan kacau biar smapai layu kemudian masukkan udang dan kacau lagi bagi udang masak. Masukkan sos tiram dan terus masukkan semua sayur dan kicap sekali . Kacau lagi dan kalau tak masin baru la ditambah garam secukup rasa dan masukkan sedikit air . Bila sayur dah layu boleh la ditutup api dapur.

Sabtu, 29 Mei 2010

BUN TUNA


Pagi semalam saya buat bun tuna ni untuk sarapan dan alhamdulillah elok naik bun ni . Anak saya Adlina yang suka sangat bun tuna ni dan dia la yang banyak makan bun ni . Kelebihan buat sendiri roti adalah kita tau apa bahan yang kita masukkan dalam adunannya dan tanpa bahan pengawet , yang pasti kita nak makan pun tak ada rasa was-was.
Saya memang suka sangat lalu dekat kedai roti atau bakery sebab bau roti yang bau dimasak memang wangi . Sekarang ni saya dah boleh buat roti sendiri dan paling best dapat makan roti yang fresh from the oven masih panas-panas . Itu la kelebihan kalau kita boleh masak sendiri makanan yang kita suka . Saya pun join kelas buat roti untuk mahirkan diri dan sekarang ni boleh la buat untuk makan sendiri anak-beranak .
Paling best bila anak-anak dan suami puji roti saya ni sedap memang saya puas hati dan senyum lebar sampai ke telinga la hehe.....

Bun tuna yang masih panas baru keluar dari oven ni


Inti tuna hmmm sedapnya


Bahan-bahan untuk bun tuna...

LALA BLACK PEPPER



BAHAN-BAHAN :

2 kilo lala
3-4 sudu besar sos lada hitam
1 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar cili kisar
Sedikit air asam jawa secukup rasa
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit air

BAHAN DIKISAR HALUS :

4 biji bawang merah
3 biji ulas putih
2 cm halia
2 cm lengkuas
3 batang serai- dititik


CARA MEMASAK :

- Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar serta cili dan kacau sampai terbit bau wangi . Masukkan serai , sos tiram , sos lada hitam , sos cili serta air asam jawa dan kacau kemudian masukkan semua lala yang sudah dibersihkan dulu .

-Kacau semua bahan sehingga rata dan rasa dulu garamnya jika kurang masin baru la ditambah garam . Jika kurang kuah tambah boleh ditambah sedikit air ikut pada citarasa kita la ya . Lala akan terbuka bila dah masak dan cengkerangnya akan bertukar warna .

Jumaat, 28 Mei 2010

GULAI IKAN KELI SALAI dgn PUCUK PAKU


Menu ni favorite bapa mertua dan suami saya , dulu memang pelik juga saya tengok ikan keli dimasak dengan pucuk paku tapi ini merupakan menu tradisional kampung suami saya . Sekarang ni bila dah selalu makan baru tahu specialnya menu ni . Cara nak masak menu ni tak susah sama je macam masak lomak cili api yang selalu saya buat n3 dalam blog saya ni.

Gulai ikan keli dengan pucuk paku

BAHAN-BAHAN :

12 ekor ikan keli salai
4 cawan santan pekat
3 batang serai- dititik
2 ikat pucuk paku
1 keping asam jawa


BAHAN DITUMBUK LUMAT :

10 biji cili api
2 inci kunyit hidup
Garam kasar secukup rasa

* kalau kurang kuah boleh la ditambah santan lagi

CARA MEMASAK :

Bersihkan ikan dan dipotong 2 dan di ketepikan dulu . Bersihkan sayur pucuk paku dan ambil daun dan bahagian batang yang lembut saja.

Masukkan semua bahan tumbuk dan serai yang dititik . Masukkan juga semua santan , sekeping asam keping .

Masak kuah sehingga hampir mendidih dan baru la dimasukkan ikan keli salai , garam dan sayur pucuk paku serta asam keping . Kacau kuah skejap dan boleh la dirasa garam jika kurang tambah lagi mengikut cita rasa masing-masing. Bila sayur pucuk paku dan masak serta ikan keli pun dah lembut boleh la ditutup api dapur.

NASI GORENG UDANG KERING

BAHAN-BAHAN:

5 cawan nasi
2 biji telur
2 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil minyak bijan
Sikit sayur kobis- boleh digunakan sayur jenis lain.
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN DITUMBUK HALUS:

4 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
3 sudu besar udang kering ( direndam dahulu )
1 inci belacan

* kalau nak pedas boleh ditambah cili api atau cili merah dan ditumbuk lumat juga

CARA MEMASAK :

1) Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan yang ditumbuk tadi sampai terbit bau harum.

2) Masukkan telur dan kacau semua bahan menjadi rata. Seterusnya masukkan sos tiram , minyak bijan serta sayur kobis dan terus kacau sampai sayur menjadi agak layu. Tambah garam jika masih kurang masin.

3) Campurkan pula nasi yang telah dilerai-leraikan tadi dan kacau sehingga semua bahan menjadi mesra . Kacau untuk 5 minit lagi sehingga nasi menjadi agak kering dan boleh la ditutup api dapur.

Khamis, 27 Mei 2010

IKAN BULUS GORENG TEPUNG



BAHAN-BAHAN :

30 ekor ikan bulus segar
5-6 sudu tepung gandum
2 sudu tepung beras
Sedikit serbuk kunyit dan garam
Air secukupnya untuk membancuh tepung


CARA-CARA MEMASAK :

Buang isi perut ikan dan bersih ikan serta tos kemudian ketepikan ikan ini dulu . Kemudian masukkan semua tepung serta serbuk kunyit & garam ke dalam mangkuk yang sesuai . Tuang air sedikit demi sedikit ke dalam mangkuk yang berisi tepung ini dan bancuh seperti nak buang bancuhan untuk mengoreng pisang .

Panaskan minyak secukupnya (deep fry) kemudian masukkan ikan ke dalam bancuhan tepung ini dan gaul rata . Kemudian masukkan ikan ini sekor demi sekor ke dalam minyak panas dan goreng ikan sampai masak serta sedikit garing .

Angkat ikan dan tos dahulu kemudian boleh la dihidang dengan sos cili dan sedap dimakan semasa masih panas.

SUP SAYUR



BAHAN-BAHAN :

1 batang sayur sawi
1/4 kobis
1 batang carrot
1 peket kecil cendawan tiram
3 biji telur
2 sudu besar sos tiram
1 sudu teh minyak bijan
3 cawan air
Garam secukup rasa


BAHAN DITUMBUK LUMAT :

2 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
segenggam ikan bilis

CARA MEMASAK :

-Panaskan sedikit minyak didalam periuk kemudian tumis bahan tumbuk dan kacau serta biar sampai terbit bau wangi . Terus masukkan air serta biarkan sampai kuah mendidih dan masukkan telur sebiji demi sebiji , biarkan sampai telur masak . Masukkan sos tiram serta minyak bijan kacau.

-Apabila telur sudah masak terus masukkan carrot serta bunga kobis dulu kacau kemudian masukkan semua sayur dan garam . Terus kacau supaya semua sayur masak dan biarkan kuah mendidih seketika saja dan boleh la ditutup api dapur , jangan masak sayur terlalu lama nanti over cook dan sayur menjadi lembik.

Isnin, 24 Mei 2010

SAYUR PUCUK MANIS


Sayur pucuk manis ni memang kegemaran saya dan anak-anak . Senang je nak masak resepi ni nanti la saya bagi resepinya..

Masak lemak putih pucuk manis , selalunya resepi ni ditambah ubi keledek atau labu .

BAHAN-BAHAN :

2 ikat sayur pucuk manis
2 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 genggam ikan bilis
2-3 cawan santan
Garam secukup rasa


CARA MEMASAK :

1) Bersih kan sayur pucuk manis dan lurut semua daun-daun pucuk manis ini dari batangnya , kupas semua bawang dan dimayang halus .

2) Masukkan semua santan ke dalam periuk bersama dengan ikan bilis dan bawang yang di mayang halus tadi . Gunakan api yang sederhana besar untuk masak kuah ini , bila kuah dah masak dan mendidih boleh la di masuk kan sayur pucuk manis serta garam . Kacau semua bahan supaya menjadi mesra dan bila sayur pucuk manis sudah empuk atau layu serta masak boleh la ditutup api dapur.

Resepi yang sangat simple tapi sedap sangat.

SAMBAL IKAN KERISI



Ikan kerisi sambal , alhamdulillah sedap ni

Bahan-bahannya:-

8 ekor ikan kerisi segar
Sedikit air asam jawa
1-2 biji bawang besar - dipotong membulat
Garam dan gula secukup rasa
Minyak masak untuk mengoreng ikan dan menumis

Bahan-bahan dikisar :-

8 biji cili kering
3 ulas bawang putih
4 ulas bawang merah
1 inci belacan

Kalau nak pedas boleh ditambah lagi cili kering

Cara memasaknya:-

1.Bersihkan ikan kerisi dan dilumur dengan garam serta kunyit kemudian digoreng sehingga masak dan sedikit garing .

2.Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar tadi.Kemudian masukkan air asam jawa , bawang besar dan gula ,sekali sekala kacau semua bahan.

3.Bila sambal dah pecah minyak baru la boleh dimasukkan ikan serta garam dan kacau rata.Rasa garam jika kurang boleh ditambah . Bila semua sambal dah rata boleh la ditutup api dapur.


AYAM GRILL


Resepi ayam grill ni dulu saya letak dalam blog Nannie`s Passion so hari ni saya transfer masuk blog masak saya ni . Kalau nak masak menu yang cepat saya suka maska menu ni mudah dan sangat berkhasiat . Nanti saya bagi resepinya..


Jumaat, 21 Mei 2010

KARI IKAN SEMBILANG



Kari ikan sembilang ni saya masak semalam hmm sedapnya rasa isi ikan sembilang ni dan ada telur ikan sekali . Rasa ikan sembilang ni macam ikan baung dan hanya di sesetengah daerah di Kedah saja ikan sembilang di masak kari .

Beza kari ni dengan kari biasa ialah dalam resepi kari ini diguna daun kesum so rasanya ermm susah la nak terangkan tapi pada selera saya sedap sangat la . Selain resepi kari , ikan sembilang ni pun boleh dimasak asam pedas ishh sodap juga tu...

Ikan sembilang memang perlu dibasuh dengan air asam jawa serta tepung gandum untuk buang segala hanyir dan kemudian boleh la di masak kari atau asam pedas ishh sedapnya . Nanti ya saya bagi resepinya...


BAHAN-BAHAN A :

1 ekor ikan sembilang ( 500-700 grm)
10 biji kacang bendi
3-4 cawan santan pekat
5 batang pokok daun kesum
Garam dan asam jawa secukup rasa


BAHAN B (DIMAYANG HALUS )

4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih


BAHAN C (DITUMBUK LUMAT)

4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1 peket rempah kari ikan


CARA MEMASAK :

Bersihkan ikan dan dipotong ke beberapa bahagian kecil kemudian dibasuh lumur dengan asam jawa atau tepung gandum untuk buang kekotoran dan hanyir ikan sembilang ini , bilas dan tos .

Kupas semua bawang dan ditumbuk lumat kemudian digaul dengan serbuk jintan putih serta serbuk kari (BAHAN A)

Potong bahagian hujung dan pangkal bendi jika panjang boleh la dipotong 2 kacang bendi ini .


Panaskan minyak untuk menumis dan tumiskan semua bawang yang dimayang halus (BAHAN B) sampai layu dan kekuningan .

Kemudian masukkan rempah(BAHAN A) dan sedikit air kacau serta biar sampai rempah masak dan pecah minyak .

Bila rempah sudah masak boleh la dimasukkan semua santan serta garam dan kacau kuah . Biarkan sampai kuah mendidih kemudian boleh la dimasukkan semua ikan sembilang , daun kesum dan air asam jawa kacau sekejap .

Biarkan kuah mendidih dan ikan masak kemudian boleh dimasukkan semua kacang bendi dan biarkan seketika . Tutup periuk dan biarkan kacang bendi masak didalam wap panas kari ini .

Khamis, 20 Mei 2010

KUEHTEOW GORENG


Hari ini untuk sarapan saya goreng kueyteow tapi tak pedas sangat sebab nanti Adam nak ulang minum air saja kalau makan pedas kesian pulak tengok dia . Semenjak awal bulan April Adam dah berselera nak makan alhamdulillah lega saya dulu saya risau juga sebab Adam kurang nak makan tapi lebih susu saja.
Ok la saya bagi resepi sekali tapi resepi ni sama je dengan n3 yang lepas . Nak goreng kueyteow ni saya suka guna teknik stir fry dengan api dapur yang besar teknik macam ni sekejap je masaknya . Kueyteow pun bukan boleh goreng lama-lama nanti hancur pula hehe


BAHAN-BAHAN :

1 peket kuey teow
30 ekor udang , dibersihkan
1 cawan isi ayam
1 peket fish ball
150 g taugeh
1 cekak kucai - cuci bersih
3 ulas bawang putih
2 biji bawang merah
2 biji telur
2 sudu besar cili kisar
2 sudu besar sos tiram
3 sudu besar kicap cair
2 sudu besar kicap manis
1 sudu kecil minyak bijan

Boleh ditambah kicap - ikut pada citarasa masing-masing.

Cara memasaknya:-

Kupas semua bawang dan tumbuk lumat . Bersihkan udang dan potong ayam kecil-kecil. Bersihkan sayur kucai dan potong ikut pada citarasa.

Dalam kuali panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk dengan cili kisar dan biar sampai cili cukup masak .Masukkan daging ayam, udang, fish ball dan goreng sampai masak , kemudian masukkan semua telur dan kacau semua bahan bagi sekata .

Masukkan sos tiram , kicap cair dan kicap manis dan gaul . Masukkan kucai dan taugeh dan kacau lagi .

Bila taugeh agak layu terus masukkan semua kueh teow , garam/serbuk lada sulah dan kacau hingga rata dan mesra semua bahan. Boleh la ditutup api dapur bila kueh teow dah masak .

Bila goreng kueyteow atau mihun saya suka letak kucai dan taugeh extra banyak yum yum..

Jumaat, 14 Mei 2010

CARROT CAKE LAGI


Hari ni saya baked lagi sebiji carrot cake , minggu lepas saya dah baked sebiji untuk kakak saya . Kek ni baru je siap pukul 1 tengahari tadi dan saya simpan dulu dalam fridge sebelum boleh dimakan .Hmm pagi tadi rumah saya harum semerbak bau wangi kek yang tengah masak dalam oven . Kat rumah saya ni carrot cake memang favourite saya dan anak-anak .


Rupa kek sebelum disapu cream cheese..

Selamat bercuti hujung minggu ya..

Khamis, 13 Mei 2010

GULAI DAGING SALAI


Menu favorite suami saya ni gulai daging salai a.k.a masak lomak cili api . Daging salainya suami saya beli dipasar tani kat kampung masa kami balik Ahad sudah kalau nak salai sendiri kat rumah pun boleh tapi hari tu tak sempat so beli je la.

Dah banyak kali juga saya buat n3 gulai daging salai ni kiranya ni n3 ulangan la hehe . Hmmm sedapnya gulai ni makan pula dengan ikan masin sepat dan sambal gesek memang bila makan nasi tu 2 kali tambah la....

Gulai daging salai

BAHAN-BAHAN :

1 kilo daging lembu salai
4-5 cawan santan pekat
6 biji ubi kentang-dikupas kulit dan dibelah 4
6 batang serai- dititik

BAHAN DITUMBUK LUMAT :

10 biji cili api
2 inci kunyit hidup
Garam kasar secukup rasa

* kalau kurang kuah boleh la ditambah santan lagi atau sedikit air

CARA MEMASAK :

Potong daging pada saiz yang sesuai dan bersihkan serta diketepikan dulu . Masukkan semua bahan tumbuk , serai yang dititik , semua santan dan sekeping asam keping . Letak di atas api dapur biarkan sehingga kuah mula hendak mendidih dan terus dimasukkan semua daging serta ubi kentang kacau kuah supaya tak pecah minyak . Bila ubi kentang sudah masak dan menjadi empuk boleh dimasukkan garam serta dikacau kuah , biar sebentar dan boleh la ditutup api dapur .

IKAN PANGGANG


Ikan panggang , air asam dan ulam-ulam hmmm sedapnya
Ikan di grill atau dipanggang ni pun saya masak semalam resepi ni senang je nak dimasak dan nak buat air asam pun sonang juga . Saya ada bagi cara resepinya dalam n3 yang lepas cuba check di bahagian label blog saya ni...


Ikan sedang dipanggang guna grill pan hmmm mudah kerja saya...

TUMIS KACANG PANJANG


Kacang panjang dengan udang kering dan belacan ni saya masak semalam . Dulu ada rancangan masak Floyd dan dalam salah satu siri masa dia di Thailand Floyd pegi melawat di satu kampung kat Thailand ni dan dia tengok sorang nenek ni demo masak sayur kacang panjang ni di tumis dengan belacan dan udang segar . Floyd cakap sedap sangat nenek ni masak dan saya pun teringin la nak cuba masak ikut resepi simple nenek kat Thailand tu . Resepinya mudah sangat dan memang sedap pun lebih kurang macam cara orang kita masak juga dan sampai sekarang saya guna cara tumis ni kalau masak sayur bendi , kailan atau apa saja je la yang dirasakan sesuai . Cara masak saya suka stir fry yang cepat untuk kekalkan kesegaran dan manis sayur hmmm sedapnya.
Mak mertua saya pesan kacang panjang ni dipatah-patah dengan jari saja untuk kekalkan kemanisannya dan tak perlu guna pisau . Saya ikut saja petua mak mertua yang lagi berpengalaman dalam bidang masak-memasak ni .


BAHAN-BAHAN :

300 grm kacang panjang
1 genggam udang kertas kecil
sedikit minyak bijan dan sos nampla
Sedikit air

BAHAN-BAHAN DITUMBUK LUMAT :

2 biji bawang merah
2 ulas putih
1 biji cili merah
1 sudu besar udang kering-diremdam kejap
1 sudu kecil belacan yang dipanggang dulu


CARA MEMASAK :

- Bersihkan sayur kacang panjang dan patahkan kecil-kecil kemudian kupas semua bawang dan ditumbuk lumat bersama bahan-bahan lain . Bersihkan udang kertas dan tos serta diketepikan dulu.

- Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan tumbuk dulu sampai terbit bau wangi kemudian baru dimasukkan udang basah , goreng lagi sampai udang masak . Masukkan semua kacang panjang dan karrot kemudian masukkan sos nampla , minyak bijan dan terus kacau. Kacau sayur jika agak kering masukkan sedikit air . Bila sayur dah layu boleh la ditutup api dapur.

Resepi ini tak perlu garam sebab dah guna sos nampla kalau tak ada sos nampla baru guna garam secukup rasa.

Selasa, 11 Mei 2010

GULAI CENDAWAN BUSUT


Gulai cendawan busut
Balik je ke rumah dan lepas saya dah selesai hal-hal lain baru la la saya boleh nak masak cendawan busut ni . Mula-mula kena basuh cendawan ni betul-betul untuk buang semua pasir dan kekotoran yang melekat kat cendawan . Agak lama la juga prosesl basuh ni dan saya rendam juga cendawan ni kejap dalam air bagi betul-betul bersih .

Bila dah bersih dibasuh dan ditos baru la saya potong cendawan ni kalau yang kudupnya dah kembang selalunya saya siat jadi kepingan . Lepas dah siap dibersih boleh la dimasak gulai atau nak tumis air pun boleh juga tapi kat rumah saya ni memang masak gulai a.k.a masak lemak cili api je tapi tak pedas sangat sebab anak-anak saya pun suka makan cendawan ni .

CENDAWAN BUSUT


Hujung minggu yang lepas kami pegi bercuti ke Port Dickson dan sempat juga balik kampung suami saya kat Jelebu . On the way nak balik ke KL kami jumpa makcik jual cendawan busut ni kat tepi jalan . Waa memang seronok benar la saya dan suami sebab bukan senang nak jumpa cendawan busut jenis ni .

Bulan lepas saya ada buat n3 tentang cendawan busut ini dan semenjak tu saya ada la juga terasa teringin nak makan cendawan busut lagi cuma tak la mengharap sangat untuk dapat jumpa lagi cendawan busut tapi hari Ahad lepas mungkin dah rezeki kami dapat beli cendawan busut ini . Dari jauh lagi saya macam nampak benda putih disusun atas meja cuma tak pasti apa bendanya bila dah sampai dekat baru la jelas rupa-rupanya cendawan busut dan encik suami pun apa lagi tanpa berlengah berenti kereta betul-betul depan gerai (pada mulanya saya nak berhenti kat gerai ni sebab nak beli air rupa-rupanya teman dapat beli cendawan busut rezeki rezeki syukur alhamdulillah).

Cendawan yang baru tumbuh ni la yang paling sedap dan mash fresh , makcik yang jual tu bagitahu bila dia jumpa je cendawan ini kena terus cabut dan tak boleh tunggu bagi kembang sikit kudupnya sebab kalau tak melepas la dapat kat orang lain sebab cendawan ni susah nak jumpa.


Cendawan ni nampak je macam kotor sangat tapi bila dah balik nanti dan dibasuh jadi bersih la. Hanya mereka yang pernah makan cendawan ni saja tahu macam mana keenakannya dan susah juga la saya nak cerita macam mana rasanya tapi yang pasti sodap sangat le.....



Encik suami sangat la happy dan senyum je sepanjang perjalan nak balik ke rumah hehe . Bila balik je saya pun masak menu kesukaan hubby gulai cili api la lepas tu ada pula ikan masin dan sambal gesek hmmm sodap....

Ahad, 9 Mei 2010

CARROT CAKE


Carrot cake ni saya buat hari Khamis lepas untuk kakak saya Kak Amy . Masa birthday party Aisyah kakak saya tak dapat datang dan dia pesan pada saya untuk bawa la sikit carrot cake bila saya nak ke Port Dickson kakak saya ni tinggal di PD . So saya baked la sebiji kek carrot untuk kakak saya sebelum saya ke PD untuk holiday hujung minggu ni . Kiranya carrot ni pun untuk sambut Mother`s day hari ni kan . Kat sini saya bagi link untuk resepi carrot cake yang sedap ni click DI SINI .

Carrot cake saya yang agak comot hehe


Adlina yang nak posing sambil tolong kacau adunan kek


Adunan kek saya tambah almond dan walnut hmmm yummy...



Kek yang baru masak masih panas ni..

Khamis, 6 Mei 2010

SIMPLE TAPI SEDAP..



Sambal ikan sardin , telur goreng dan sayur kangkung tumis

Menu lauk yang saya masak ni semuanya simple dan kejap je nak masak tapi ni la menu kegemaran kami sekeluarga lagi-lagi suami saya yang memang peminat ikan sardin hehe . Kadang-kadang tu bila saya sibuk nak buat kerja lain macam kena siapkan projek jahitan ni la menu yang saya masak . Walaupun simple tapi masih berkhasiat..

PASTA BAKAR



BAHAN-BAHAN :

250 gm pasta
100 gm sayur campur
3 biji bawang merah- dikisar
3 ulas bawang putih - dikisar
1 tin sos sphagetti prego
1 tin cendawan butang - dihiris halus
1 peket ayam kisar
5 biji telur
1/2 cawan susu
2 cawan keju monzarella
1 cawan keju cheddar
Sedikit mentega
Garam secukup rasa
Sedikit minyak masak


CARA MEMBUAT :

1 )Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih serta bawang merah sampai terbit bau wangi . Masukkan ayam cincang dan kacau lagi sehingga daging ayam mnejadi masak. Kemudian masukkan sos spehgetti , cendawan dan sayur campur serta terus mengacau sampai semua bahan menjadi sekata.

2) Masukkan pasta yang telah direbus tadi dan gaul dengan kuah sos. Masukkan telur , susu dan garam dan gaul semua bahan sehingga sebati.

3) Sapukan mentega pada pemukaan dalam dulang pembakar. Tuang semua bahan tadi ke dalam dulang pembakar. Taburkan semua keju dan bakar dalam oven dengan suhu 180 darjah celcius selama 40 minit atau sehingga masak.

Rabu, 5 Mei 2010

AWARD DARI AEINI


Saya dapat award lagi dari kawan blog yang juga sama hobi suka masak kali ni award dari Aeini nama blog dia Aeini`s At Home .Terima kasih banyak-banyak ye Ain sebab sudi bagi saya award ni dan saya ni sangat menghargai kesudian kawan-kawan blogger yang bagi award sebagai tanda persahabatan .

Bestnya ada blog ni bila saya dapat kenal ramai kawan baru dan ada kawan-kawan baru ni yang saya dah jumpa serta sekarang ini menjadi kenalan rapat saya , terima kasih teman....

Selasa, 4 Mei 2010

AYAM MASAK MERAH


Ayam masak emrah ni saya masak untuk dimakan dengan nasi minyak masa birthday party Aisyah pada hari Sabtu yang lepas . Cara masak ni saya dah ubah sikit ada macam-macam resepi nak masak resepi ayam masak merah ni ikut la pada selera masing-masing .


BAHAN-BAHAN:

1 ekor ayam
2 biji bawang besar- dipotong membulat
3 cm kulit kayu manis
3 biji bunga lawang
5 biji bunga cengkih
2 batang serai-dititik
8 sudu besar sos tomato
6 sudu besar cili sos
3 sudu besar gula
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN DIKISAR:

8 biji cili kering
5 biji bawang merah
3 biji ulas bawang putih yang besar
3 cm halia

CARA MEMASAK :

-Semua bahan-bahan dikisar perlu dipotong kecil-kecil . Cili kering perlu direbus dahulu atau direndam dalam air panas supaya menjadi lembut dan mudah dikisar.

- Ayam dibersihkan kemudian dipotong dan digaul dengan garam dan kunyit.Panaskan 2 cawan minyak dan goreng ayam sehingga masak . Kalau suka boleh biar sampai garing.

-Panaskan minyak dan tumiskan kayu manis + bunga lawang + bunga cengkih dahulu sehingga terbit bau wangi kemudian boleh la dimasukkan bahan-bahan dikisar serta serai . Kacau semua bahan dan biarkan sampai sambal masak kemudian masukkan sos cili , sos tomato dan bawang besar serta kacau lagi . Masukkan gula dan garam kacau tambah bahan jika ada yang terkurang .

-Kemudian masukkan ayam ke dalam sambal dan gaul rata sampai mesra . Terus mengacau untuk 10 minit lagi dan boleh la dimatikan api dapur.

Isnin, 3 Mei 2010

KEK BIRTHDAY AISYAH


Hari Sabtu lepas saya buat majlis birthday Aisyah yang ke 12 tahun . Kek birthday untuk Aisyah pun saya buat sendiri tapi hiasannya simple saja sebab nak cepat siap , pagi-pagi Sabtu tu saya hias kek ni dulu dan lepas tu baru la saya mula masak juadah yang lain pula .

Resepi kek ini saya dapat dari My Resipi dan agak mudah nak masak kek ni cuba la ye..



BAHAN A (diayak) :

2 cawan tepung gandum
2 cawan gula halus
3/4 cawan koko
1/2 sudu kecil soda bicarbonat
1/2 sudu kecil baking powder

BAHAN B (dipukul) :

3 biji telur
1/2 cawan susu pekat
1 cawan minyak sayur

BAHAN C :

1 cawan air panas

CARA MEMASAK :

Ayak semua bahan A dan digaul rata.

Pukul semua telur dengan gula anggaran dalam 3-5 minit . Masukkan susu pekat pukul lagi dalam 1 minit kemudian masukkan semua minyak sayur dan kacau sebentar.

Satukan bahan A dengan bahan B diselang dengan air panas dan dikacau perlahan-lahan sehingga semua adunan sebati . Adunan ini akan jadi pekat dan berkilat.

Bakar adunan ini dalam suhu 180 darjah celcius selama 30 minit atau sehingga kek ni masak . Adunan kek ini boleh dikukus juga selama 40-60 minit.



Aisyah suka sangat dengan kek ni sebab dia pun tolong hiaskan M&M keliling kek ni .