Menu sambal ikan ni memang kegemaran saya dan kakak-kakak , seingat saya dulu arwah mak saya memang selalu masak menu ikan sambal ni sebab tu sampai sekarang sekali sekala bila teringin nak makan saya mesti masak sambal ikan .
Seawal umur 12 tahun lagi saya sudah dilatih oleh mak untuk menolong beliau di dapur lagi dan menu sambal ikan ni lah masakan pertama yang diajar oleh mak saya . Masa tu sebelah tangan mak saya tak berfungsi dengan elok selepas dia diserang penyakit strok yang agak teruk . Jadi saya lah yang banyak bantu mak di dapur sebab kakak-kakak dah bekerja dan tak tinggal sekali dengan kami . Saya pula memang suka nak cuba memasak walaupun masa tu masih budak lagi . Rupa-rupanya memang diri saya ni minat sangat memasak sampai la ke hari ni dan segala tunjuk ajar arwah mak saya guna sekarang ni . Bila bulan puasa ni saya selalu teringat pada arwah mak saya yang memang mahir memasak dan segala masakannya memang sedap sanagt especially kari , sebak rasa hati tapi saya perlu la terima hakikat yang arwah mak dah lama meninggalkan saya tapi kenangan , peluk cium dan kasih sayang mak akan saya ingat sampai ke hujung hayat ni... moga roh mak sentiasa dicucuri rahmat...
Ok la ni pula gambar sambal ikan yang saya masak semalam untuk family gathering dekat rumah kakak saya .
Bahan-bahannya:-
1 kilo ikan kembong segar
Sedikit air asam jawa
1-2 biji bawang besar - dipotong membulat
Garam dan gula secukup rasa
Minyak masak untuk mengoreng ikan dan menumis
Bahan-bahan dikisar :-
12 biji cili kering
3 ulas bawang putih
4 ulas bawang merah
1 inci belacan
Kalau nak pedas boleh ditambah lagi cili kering
Cara memasaknya:-
1.Bersihkan ikan kembong dan dilumur dengan garam serta kunyit kemudian digoreng sehingga masak dan sedikit garing .
2.Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar tadi.Kemudian masukkan air asam jawa , bawang besar dan gula ,sekali sekala kacau semua bahan . Selalunya saya akan masukkan 2 sudu besar gula dalam sambal ikan ni untuk bagi seimbang rasa pedas dari cili kering .
3.Bila sambal dah masak serta pecah minyak baru la boleh dimasukkan ikan serta garam dan kacau rata.Rasa garam jika kurang boleh ditambah dan gaul semua bahan supaya menjadi sekata dan boleh la ditutup api dapur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan